Category Archives: Puisi

Didiklah Diri Untuk Bersyukur

Didiklah diri untuk bersyukur!
Oleh : nurtaufiq

Usah lupa pada kesusahan,
boleh jadi kesusahan itu yang membahagiakan kamu,
Usah lupa pada musibah yang menimpamu,
boleh jadi musibah itulah yang merawat penyakit hatimu.

Ramai orang yang inginkan kesenangan di dunia,

tetapi dia terlupa bahawa kesenangan telahpun dia perolehi tanpa memerah keringat.

Kesenangan memiliki pancaindera yang lengkap,
mempunyai tempat untuk memayunginya daripada terik mentari dan menyelubungi kesejukan di pagi hari.

Ada yang tidak memiliki kereta,
tetapi dia memiliki motorsikal.

Ada yang tidak memilik motorsikal,
tetapi dia memiliki basikal.

Ada yang tidak memiliki basikal,
tetapi dia memilik sepasang kaki untuk berjalan.
Sedangkan sepasang kaki itu lebih berharga daripada
kereta, motosikal dan basikal.
kerana ketiga-tiganya memerlukan kaki untuk menggerakkannya.

Didiklah diri untuk bersyukur!

Berteduh Di Bawah Rimbunan Tawheed

Sumber gambar : flickr.com

Rangkaian Hikmah


Rangkaian Hikmah

Oleh : nurtaufiq

I

Musnahkan materi yang membelenggu hidupmu, kamu akan menjadi seorang yang gagah.
Ingatlah, takkan berterusan mendung yang menjengah hidupmu.
Begitu jua takkan berterusan sinar suria menceriakanmu.
Inilah kehidupan dunia.
Ruang pentas dunia ini terlalu kecil dan terlalu rendah nilainya untuk dibanggai.
Sedangkan seisi dunia adalah ujian bagimu,
agar kembalinya kamu seperti kamu datang ke mari.

II

Lihatlah di sekelilingmu, apa yang semalam ada, tetapi hari ini tiada?
Berapa banyak tenaga telah kau usahakan, tetapi untuk apa?
Sedangkan tenaga akan lenyap di hujung nyawa.
Banyak wang dan perhiasan telah kau kumpulkan, tetapi untuk siapa?
Sedangkan wang, perhiasan & nyawa takkan pernah menjadi hak milik mutlak dirimu.
Apabila kamu tiada, tinggallah harta, hilanglah nyawa.
Andainya, segala untuk Tuhanmu Yang Esa,
Bertuahlah kamu kerna dihampirkan Syurga dan seisinya.

III

Pandanglah ke langit tempat dirimu berteduh,
Kerana kamu pasti tidak akan melihatnya lagi,
tahun demi tahun, bulan demi bulan, hari demi hari,
umurmu semakin singkat bukan semakin meningkat.
Sujudlah sebagai tanda kamu bersyukur,
Lantaran nikmat udara yang masih kau hirup,
lantaran neuron otakmu masih melengkapi hidupmu,
untuk kau terus berbakti, bersyukur, bersyukur dan bersyukur lagi.



Rindukan Hadirmu Ramadhan…

Rindukan Hadirmu Ramadhan…

Nukilan: http://nurthauffiq.blogspot.com

Appreciation to Muslimz.com. Thanks for the video sharing.

Perjalanan yang panjang
telah mengheret waktu pergi bersamanya
Semakin diheret,
semakin hilang cahayanya.
Namun baranya tetap ada.
Terus menyala memberikan 1001 hikmah kepada pencintanya
terus bercahaya menyinari hati-hati yang rindukannya.

Tiada terkata…
Sungguh indah hadirnya,
Persis si musafir menemukan seteguk air
di tengah-tengah oasis yang kering dan tandus.
ketika tiada lagi bekalan yang dibawa,
ketika penatnya kaki berjalan.

Sungguh bererti hadirnya
Persis pepohonan kering yang nantikan hujan.
ketika berguguran daun-daun jatuh ke bumi,
ketika ranting-ranting rapuh ditiup badai.

Hadirmu amat bererti…
Hadirmu amat dirindui…

P/s : Salam Ramadhan Al Mubarak.

Patutkah Aku Lupa

Patutkah Aku Lupa

Oleh : http//nurthauffiq
.blogspot.com

Dibukakan mataku
Sebelum dicelikkan mindaku
Tatkala aku mulai bertatih untuk berjalan
Diajarkan aku mengenal benda,
Mengenal ibu dan ayah,

Disini,
Aku menempuh jalan yang terbentang dihadapanku,
Yang telah tersedia untuk dijelajahi,
Yang telah dijadikan untuk dihayati,
Yang telah disempurnakan untuk ditatapi,

Lalu terus berjalan tanpa memandangNya
bersama fatamorgana dunia yang seringkali membebankan,
tanpa menyentuh bekalan rohani,
tanpa lafaz-lafaz yang suci murni.

Sedangkan hakikatnya, semua telah tersedia.
Rezeki udara yang tidak pernah putus-putus.
Rezeki nyawa yang masih belum ingin dicabutnya,
Rezeki kehidupan yang masih dinikmati sepuasnya.

Setelah tersedia semua itu untukku,
Patutkah aku lupa untuk bersyukur?
Setelah tersedia semua untukku,
Patutkah aku tidak tersungkur sujud?
Setelah segalanya tersedia untukku
Patutkah aku terus menerus alpa?

Andainya terus menerus keadaanya begitu,
Cukuplah, cukuplah Allah yang menjadi saksi,
Bahawa aku insan yang tidak bersyukur.

10.37 P.M 08/07/2009 16 Rejab 1430H