Monthly Archives: January 2009

Al – Quran : Ketenangan Dalam Kedamaian

Al – Quran : Ketenangan Dalam Kedamaian

Oleh : http://nurthauffiq.blogspot.com


Tenang. Sayu. Gemersik alunan bacaan ayat-ayat Allah dirasai menyusup perlahan – lahan ke urat jari jemari, seterusnya ke jantung sebelum meresap ke hati. Getaran terasa sehingga menjadikan hati turut ‘tunduk’ mengakui keagungannya. Bercucuran air mata menitis tika merungkai maksud setiap baris ayat – ayat indah yang menuntun jiwa ke arah kedamaian yang hakiki. Sangat puitis walaupun ia sebenarnya bukannya puisi atau rangkap syair. Sangat ‘berat’ isinya sehingga sang gunung pun tidak mampu memikulnya. Pepohanan yang rimbun turut menundukkan ranting-rantingnya tika dialunkan bacaan ayat – ayat cinta sebagai tanda memuji kekuasaan dan keagungan kalamullah. Berkicauanlah sang burung sambil berlegar- legar menikmati kesegaran lantunan ayat-ayat tersebut.

Itulah keagungan Al Quran. Kalamullah yang Maha Agung.

Perasaan itu hanya dapat dirasai bagi hambannya yang beriman. Ianya satu anugerah yang tidak ternilai. Allah SWT berfirman :


“..(Iaitu) orang – orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenteram. ” ( Ar-Ra’ad : 28)


Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w sangat gemar mendengar bacaan Al-Quran oleh sahabat – sahabatnya yang lain. Baginda merasakan ianya lebih menyentuh hati. Baginda pernah menyuruh Ibnu Mas’ud r.a memperdengar bacaan Al-Quran kepada baginda. Lalu Ibnu Mas’ud membaca untuk baginda surah An-Nisa’ sehingga Rasulullah s.a.w menitiskan air mata. Lantas, baginda s.a.w bersabda kepada Ibnu Mas’ud r.a : ”
Cukup sampai disini dulu bacaanmu.” (Al-Hadis).

Pengaruh Al-Quran amat berkesan ke atas rohani manusia. Lantunan ayatnya mampu menyejukkan hati manusia. Masa yang dilalui oleh manusia yang penuh dengan kegelisahan akan tenteram walaupun dengan hanya mendengar Al Quran.

“Maka Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang – orang beriman…” (Al-Fath : 26)


Tadabbur Al Quran amatlah dituntut bagi memberi kesan pada pembacaan Al Quran itu sendiri. Memahami maksud ayat tersebut amat perlu lebih – lebih lagi yang bukan berbangsa Arab. Membaca dengan lidah, merenung dengan hati. Meletakkan setiap maksud ayat ke dalam diri terutama mengenai azab, dosa, neraka, perihal mati dan sebagainya. Ianya dengan izin Allah akan melahirkan keinsafan, menundukkan hati, jiwa dan rasa tenteram pada akhirnya. Rasulullah S.a.w mengajar umatnya agar melatih diri untuk menghayati dengan menangis ketika membaca Al Quran di dalam sebua hadis yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis” (At – Tabrani)

Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah An Nisa’ ayat 82 yang bermaksud,


Apakah mereka tidak tadabur Al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya. (An Nisa’:82)


Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan.”

Begitulah kepentingan mentadabbur Al Quran bagi setiap individu yang mengingini Ketenangan didalam kedamaian. Penghayatan Al Quran juga perlulah seiring dengan pembacaan yang baik dan yang paling penting sekali ialah mengamalkan isi yang terkandung di dalamnya.

Wallahu’alam.

Warkah Daripada Ummu Taqi

Menemui saudara dan saudari seIslamku, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan pesanan dari saudara-saudari seagamamu di Gaza. Dengarkanlah bagaimana keadaan kami di sini dan beritahukan kepada semua orang samada mereka yang kamu kenali mahupun tidak.

Pada tanggal 27hb Disember 2008, ketika kami di serang rejim Zionis, mereka bukan sahaja menyerang puak Hamas ataupun kaum Muslim di Gaza, tetapi mereka sebenarnya menyerang seluruh umat Islam. Mereka menyerang Islam dengan harapan mereka dapat melemahkannya dan akhirnya melenyapkan Islam dan umat Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Dan sudah tentunya mereka tidak akan sekali-kali berhenti di sini. Mereka inginkan Al Aqsa kesayangan kita, mereka mahukan Tebing Barat dan percayalah kepada ku bahawasanya mereka mendambakan seluruh wilayah Timur Tengah.

Namun, mereka tidak akan pernah berjaya. Mereka tidak akan pernah dapat menghilangkan cahaya Allah, dari bumi ini, InsyaAllah.

Keadaan kami pada saat ini amat dahsyat dan mengerikan, tetapi keimanan kami tetap utuh. Alhamdulillah, walaupun kami tiada bekalan air dan sekiranya ada pun setitis air, ia adalah tercemar dan membawa seribu satu wabak penyakit. Kami tiada wang untuk membeli air mineral dan seandainya kami menjumpai wang pun, mereka yang menjualnya mengatakan kepada kami, bekalan tiada dan amatlah merbahaya untuk mereka keluar mendapatkan bekalan baru. Kami juga tiada bahan api(gas) semenjak empat bulan lalu. Kami memasak sedikit makanan yang kami ada dengan api sebenar yang kami pelajari bagaimana untuk menyalakannya.

Kerabat lelaki kami telah kehilangan semua pekerjaan mereka. Pada masa ini,mereka hanya menghabiskan masa di rumah. .Suamiku menghabiskan masa seharian hanya untuk merayau-rayau dari satu tempat ke tempat yang lain semata-mata untuk mencari keperluan asas seperti seteguk air. Kebiasaannya beliau akan pulang dengan tangan kosong. Tiada sebarang sekolah mahupun bank-bank yang dapat kami keluarkan wang simpanan kami. Hanya terdapat beberapa hospital yang masih dibuka untuk merawat mereka yang tercedera.

Kami sedar bahawa kami sentiasa mempertaruhkan nyawa apabila kami keluar atau berada di luar rumah. Rejim Zionis mengenakan perintah berkurung dari jam 1pm hingga 4pm. Mereka mengatakan adalah selamat untuk kami keluar mendapatkan bekalan asas pada waktu-waktu tertentu, tetapi semua itu adalah satu pembohongan. . Bahkan mereka telah sering menggunakan peluang yang ada itu untuk menambah senarai Syuhada’ didalam koleksi mereka.

Kami memakan nasi dan roti secara berselang hari. Daging dan susu adalah satu kemewahan buat kami. Rejim Israel menggunakan kaedah perang kimia di kawasan sempadan. Mereka membunuh kami menggunakan peluru-peluru dan kereta perisai dan pesawat B52, tidak cukup dengan itu,bahkan mereka juga membunuh kami secara perlahan-lahan dengan membiarkan anak-anak kami mati kelaparan, mengakibatkan penyakit-penyakit yang tidak dapat diceritakan dengan menggunakan perang kimia mereka. Mereka bahkan hanya ketawa di saat melihat kami berterusan menderita dan tidak mampu menahan penyeksaan ini lagi.

Pada ketika semua ini dilakukan, kami diberitahu bahawa semua orang di seluruh dunia melakukan demonstrasi. MasyaAllah, mengenangkan anda semua pergi ke kedutaan-kedutaan dengan meninggalkan kediaman anda memberikan kami satu perasaan bahawa kami tidak bersendirian dalam perjuangan ini.

Akan tetapi, anda akan pulang semula ke rumah dan mengunci pintu pada waktu malam. Kami tidak mampu melakukan itu. Aku sendiri terpaksa meninggalkan rumahku yang berada di tingkat dua pada setiap malam untuk menumpang di rumah adikku di tingkat bawah. Seandainya kami diserang, adalah lebih mudah untuk kami lari menyelamatkan diri

Namun Umat bertanyakan dimanakah bala tentera kaum Muslim? Dimanakah Kemenangan? Dan dimanakah pemimpin sebenar kami yang akan menyelamatkan kami dari kematian ini? Dimanakah bala tentera Salahuddin Al Ayubbi? Usahlah berharap dan merayu kepada PBB, mereka memperkenalkan Israel pada tahun1949 sebagai sebuah Negara dan menjamin nasib kami seperti hari ini. Janganlah berpaling kepada Amerika atau British, apakah mereka tidak mencerobohi umat Islam di Iraq dan Afghanistan.

Serulah pasukan tentera di Mesir, Syria, Turkey dan Libya. Dimanakah mereka? Adakah mereka tegar melihat wanita-wanita meraung dan merintih meminta ikhsan pertolongan pada saat mereka mengebumikan anak-anak kecil mereka? Adakah jeritan dan tangisan adik-adik,kakak-kakak dan abang-abang kamu didengari oleh telinga-telinga yang pekak? Kami juga mempunyai hak untuk makan dan minum dalam suasana yang selamat dan sejahtera. Kami juga mempunyai hak untuk bergembira, ketawa dan hidup dengan dipenuhi impian seperti anda semua. Ataukah kami tidak berhak???

Ya, memang benar kami sudah keletihan. Apabila aku mendengar bunyi roket-roket dan bom serta melihat pesawat-pesawat yang berterbangan amat rapat mendekati rumahku, aku menjerit-jerit bersama anak lelaki kecilku dan di saat itu, suamiku hanya mampu terduduk kaku dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa.

Saudara-saudaraku, tentunya kamu mengetahui bagaimana perasaannya apabila kamu tidak berdaya untuk mempertahankan maruah dan kehidupan keluarga kamu. Ia membunuh sesuatu dari dalam hati suami ku. Kami sering tertanya-tanya, bilakah mereka(para pemimpin umat) akan menjual tanah kami ini dengan harga yang murah. Adakah dengan seribu atau dua ribu kematian. Kami sedang menunggu untuk melihatnya. Inilah yang telah terjadi pada kami.

Dengan semua ini, tiada siapa yang dapat menyelamatkan kami melainkan hanya Allah Subhanahu wa Taala. Janganlah kamu sekalian melupakan kami di sini kerana hanya kamu lah yang kami ada sekarang ini. Sumbangan dan sedekah kamu tidak sampai ke tangan kami dan apabila mereka membuka sempadan itu, hanya segelintir yang mendapatnya. Mereka yang mendapatnya(sumbangan) itu juga tidak mampu berbuat apa-apa dengannya kerana kami terpaksa mempertaruhkan nyawa hanya untuk pergi membeli makanan.

Mereka(Israel) akan membunuh sesiapa sahaja walaupun seorang anak kecil berumur lima tahun yang membawa makanan untuk keluarganya. Kami ingin hidup dengan usaha dan peluh saudara-saudara Islam kami, bukannya orang lain kerana kami semakin menghampiri kematian.

Teruskan lah usaha di jalan Allah ini dan berdoa serta bekerjalah untuk kemenangan yang semakin menghampiri dan seterusnya bakal menyelamatkan umat di segenap pelusuk, InsyaAllah.

Semoga Allah Subhanahu wa Taala mengukuhkan kita di atas DeenNya pada masa sukar dan senang. Ya Allah, kurniakanlah kami kemenangan dengan segera dan kembalikan lah Islam di bawah satu kekuasaan yang mana kami hidup di dalamnya. Ya Allah, kirimkanlah kami anak-anak Salahuddin, tentera Islam untuk menyelamatkan umat Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam dari kekejaman yang kami sedang bergelumang hidup di dalamnya. Ya Allah, lindungilah anak-anak kami dan hapuskan lah zionis dari tanah kami. Ya Allah, saksikanlah pada hari ini, kami mengadukan tentang pengkhianatan pemimpin kami kepadaMu, dan kami berdoa agar Engkau Ya Allah, mengembalikan segera pemimpin sebenar kami, iaitu Khalifah. Amin.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ummu Taqi

Saudarimu Ummu Taqi

Dipetik dari www.mykhilafah.com

Apabila Dosa Menjadi Biasa


Apabila Dosa Menjadi Biasa

Oleh : http://nurthauffiq.blogspot.com

Apabila budaya barat diikuti...

Apabila sesuatu pekerjaan dilakukan berulang kali, ia menjadi tabiat sehingga tabiat menjadi suatu kebiasaan. Kecenderungan ke arah sesuatu yang maksiat adalah lagi mudah jalannya. Namun begitu, sebenarnya, untuk melakukan kebaikan pula lagilah mudah. Tetapi, lumrah manusia, di dalam ingin menikmati kesempurnaan, yang hina itulah yang menyeronokkan dan dicari. Oleh sebab itulah, manusia dibekalkan hati untuk diisikan dengan iman. Melalui iman itulah dihiasi pula dengan taqwa. Ianya bertindak sebagai defensif dan menyalurkannya kepada akal untuk bertindak.
FUNGSI ILMU MEMPENGARUHI IMAN

Manusia yang memiliki iman dan taqwa sahajalah yang boleh merasai nikmat kebaikan itu. Iman dan taqwa yang mampu membimbing manusia mengenali apakah itu dosa dan apakah pahala. Sungguhpun begitu, iman dan taqwa tidak boleh dimiliki jika tiada ilmu. Oleh sebab itu, penawar segala dosa ialah ilmu. Setujukah anda? Fikirkanlah.

Apabila zina, arak dan dadah bukan menjadi suatu dosa rahsia peribadi. Sebaliknya ianya dijadikan pula suatu pesta dan budaya. Sekarang mari kita fikirkan. Adakah usaha kita membina modal insan telah berjaya?
Apabila rasuah menjadi salah satu perniagaan. Malah dianggap pula pelaburan berisiko. Adakah itu yang dikatakan modal insan yang tinggi mutunya? Perlukah diangkat, dijulang serta disanjung dek hanya kerana sesuatu yang tidak hidup sifatnya? WANG!

Apabila sistem kewangan kapatalis yang diperjuangkan, sedangkan kewangan islam sunyi dan sepi dibiarkan, adakah kita telah berjaya mengangkat Islam dan umatnya sebanding dengan keupayaan bangsa bukan islam.

Persoalan Yoga. Apabila yang haram dipertikaikan keharamannya.
Persoalan arak. Apabila yang haram dibiarkan sahaja.
Persoalan hudud. Apabila yang halal pula dipermainkan.

Persoalan – persoalan di atas memberi jawapan kepada kita betapa kita telah GAGAL membina modal insan yang cemerlang rohani dan jasmani serta yang gemilang duniawi dan ukhrawi.

ILMU PENCETUS KEBAIKKAN

Penyelesaiannya berbalik seperti yang dinyatakan diatas. iaitu ILMU. Sebarang masalah perlu diatasi dengan ilmu. Bukan nafsu. Contohnya, masalah kewangan, bukan menuruti kehendak nafsu, tetapi sepatutnya diselesaikan melalui ilmu. Iaitu ilmu untuk berniaga atau berkerja dan sebagainya. Ilmu pula perlu sejajar dengan iman. Jika diatasi dengan nafsu, maka pastilah jalan singkat, ringkas, mudah dilaluinya. Ilmu yang dimaksudkan bukanlah ilmu jasmaniah tetapi dunia rohaniah. Pembentukan akhlak perlu bermula dengan aspek rohaniah. Iaitu Ilmu agama dan moral.

Masalah sosial dan jenayah yang berlaku puncanya adalah kelemahan dan kegagalan sistem ilmu rohaniah yang dipraktikan di negara ini. Mana tidaknya, jika dibandingkan, antara sekolah kebangsaan konvensional dengan sekolah agama atau sekolah pondok, yang dianggap tinggi nilainya tentulah sekolah kebangsaan. Kita akui, sekolah kebangsaan telah berjaya membawa malaysia sehingga ke angkasaraya. Itulah antara kayu ukur kejayaan sistem sekolah kebangsaan.

Tidak begitu kayu ukur bagi sekolah agama. Ianya sangat abstrak dan jauh lebih hebat daripada itu. Bagaimana? Mungkin dapat dinilai dilihat dengan berkurangnya kadar maksiat atau jenayah yang sejajar dengan bertambah cendikiawan ilmu rohaniah itu sendiri. Sehingga masyarakat hidup bukan bertuhankan hiburan melampau tetapi penuh dengan kehidupan penuh dengan suasana ilmu. Adakah ini mustahil berlaku? Tidak! Buktinya, era Rasulullah itu sendiri telah menterjemahkan suasana harmoni dengan suasana keilmuan sehingga ke celah ceruk rantau eropah dan asia. Ianya bukan mustahil! Telah tercatat dilipatan sejarah. Bongkarkan dan teladanilah.

LANGKAH AWAL

Langkah kerajaan untuk menaik taraf Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) wajar dipuji. Ianya dilihat sebagai langkah positif kerajaan untuk menghidupkan kembali institusi agama ini. Langkah PAS untuk memartabatkan hukum hudud juga adalah suatu langkah yang positif dan wajib diperjuangkan. Alhamdulillah, sekurang – kurangnya ianya suatu cadangan yang positif dan perlu dilihat secara positif.

PERLAKSANAAN PERLU SECARA BERPERINGKAT

Walaupun begitu, untuk menaiktaraf STAM setaraf dengan STPM, peranan kerajaan juga perlulah memastikan institusi agama keseluruhannya setaraf dengan intitusi konvensional.

Antaranya ialah :

  1. Menaiktaraf sekolah – sekolah agama kerajaan dan sekolah – sekolah agama pondok daripada segi prasarana, sukatan pelajaran dsb.
  2. Menaiktaraf tenaga pengajar sekolah agama/pondok tersebut sehingga sebaris dengan guru – guru sekolah kebangsaan.
  3. Sekiranya perlu, kerajaan persekutuan mengambil alih peranan kerajaan negeri di dalam mentadbir dan mengurus sekolah agama/pondok negeri.
  4. Menyerlahkan fungsi masjid sebagai institusi ilmu dan agama.
  5. Melaksanakan kem bina insan seumpama PLKN yang sepenuhnya mengamalkan prinsip Islam (tiada percampuran Lelaki&perempuan, pengisian mirip prinsip sekolah pondok)

Begitu juga dengan langkah PAS untuk memertabatkan hukum hudud perlulah secara berperingkat iaitu bermula dengan pendedahan ilmu hukum islam secara lebih berkesan kepada masyarakat islam dan bukan islam. Pastinya ia bukanlah mengambil masa yang pendek. Ianya memerlukan komitmen kerajaan persekutuan di dalam perlaksanaanya. Antara langkah awal pendedahan ilmu tersebut ialah :

  1. Mewajibkan subjek undang – undang islam di dalam sukatan pendidikan sedia ada sekarang samada kepada muslim dan juga yang bukan islam
  2. Memperbanyakkan sesi dialog atau seminar terbuka yang membincangkan mengenai hukum Islam, peranan dan halatujunya.
  3. Melaksanakan undang – undang islam secara berperingkat bermula dengan prinsip takzir, qisas dan kemudianya hudud. Perlaksanaan hukum hudud juga perlu berperingkat bermula hukuman jenayah sebatan (arak dsb) sehinggala perlaksanaan secara total.

ULAMA DAN UMARA’ PERLU BERSATU

Lupakan soal politik. Ini bukan persoalan politik tetapi soal pembangunan ummah dan pembangunan tamadun.

Kita percaya dengan kemampuan golongan pemimpin dan cendikiawan agama yang terdapat di negara kita mampu menjadikan perlaksanaan undang – undang Islam suatu realiti. Hanya dengan suatu syarat yang mampu mengengkang dosa menjadi kebiasaan. Pemimpin Islam dan cendikiawan perlu bersatu. Bersatu bukan kerana bangsa, tetapi kerana agama Islam kerana, ia menunjukkan kecintaan kepada agama. Kecintaan kepada agama bererti kecintaan pada Allah SWT.

Kesimpulannya, jika tidak kita umat Islam sendiri, siapa lagi yang hendak menjulang agama Islam??
Tepuk dada, tanyalah Iman.

Renungkanlah.

Qanaah Memberi Kedamaian

Qanaah Memberi Kedamaian

Oleh : http://nurthauffiq.blogspot.com

Qanaah bermaksud bersederhana atau berpada – pada. Didalam erti kata yang lain ialah sentiasa redha dengan rezeki, keperluan atau apasaja yang dimilikinya. Seseorang yang berjiwa qanaah merupakan seorang sentiasa mensyukuri apa yang ada padanya. Dia yang juga sentiasa menghargai apa yang ada disisinya. Tiada keluh kesah. Tiada gelisah terhadap apa yang belum dimilikinya. Samada daripada soal harta mahupun soal kehidupan dunianya yang lain.

Seingkali kita mendengar orang yang mengeluh dan termasuk diri kita juga tanpa disedari.

“..hmm.. bila aku nak pakai kereta mewah.., tukar je kereta kecik ni… kan best..”
“..bila la aku nak jadi jutawan… hutang keliling pinggang.. nak harapkan gaji cukup – cukup makan aje..”
“…letihnya bekerja macam ni… kalau la aku dapat duduk je dan dapat gaji… kan senang..”
“..Ish… hari – hari makan lauk yang sama je..”

Begitulah keluh kesah yang seringkali kita dengar. Terutamanya berkaitan dengan soal harta. Sememangnya Harta merupakan suatu keinginan dan menjadi keperluan di dalam kehidupan manusia. Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari kekayaan dunia. Malah menggalakkan umatnya mencari kehidupan dunia.

Allah SWT berfirman :

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). ” ( Surah Al Jumuah : 10)

Namun begitu, sebagai hamba Allah yang memegang teguh kepada takdir Allah SWT, kita seharusnya tidak perlu mengeluh sebaliknya sentiasa bersyukur dan berusaha lagi untuk merubah keadaan diri. Ingatlah bahawasanya, selain kita, ada yang lagi susah daripada kita. Keluh kesah menyebabkan kegelisahan. Hati selalu takut berlakunya ketidakcukupan rezeki. Malamnya sering memikirkan kemelut yang dihadapi. Akhirnya, manusia hilang arah, tiada motivasi dan secara tidak sengaja mempertikaikan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya.

Rasa bersyukur dan redha disamping mewujudkan kedamaian dan kebahagiaan, secara psikologinya, ianya merangsang minda dan menenangkan hati. Walaupun sedikit ia adalah anugerah akhirnya wujudlah keberkatan pada rezeki. Apabila hadir keberkatan. yang sedikit, tersa mencukupi. Jika banyak, dapat diagihkan agihkan rezeki.

Suatu kisah, Ali Bin Al Makmun Al Abbasi. Beliau merupakan seorang penguasa anak khalifah Al Makmun dan pernah menetap di sebuah istana yang besar dan indah. Sebagai seorang penguasa kepada anak khalifah, beliau mendapat sentiasa mendapat layanan istimewa bak seorang raja. Segala keperluannya mudah diperolehi dan tersedia.

Suatu hari, Ali keluar meninggalkan istananya, dan terlihat olehnya seorang pekerja yang berkerja sepanjang hari. Menjelang waktu Dhuha, pekerja tersebut berwudhuk, kemudian mengerjakan solat sunat dua rakaat di pinggiran sungai Tigris. Selesai solat sunat, si pekerja ini meneruskan tugasnya sehinggalah ketika matahari hampir terbenam, barulah dia pulang menemui keluarga. Begitulah keadaan si pekerja yang terlihat olehnya setiap hari.

Pada suatu masa, Ali memanggil dan menanya keadaan dirinya si pekerja yang sebenar. Pekerja tersebut menceritakan bahawa dia memiliki seorang isteri, dua orang saudara perempuan dan seorang ibu yang perlu dibiayainya. Tiadalah sumber rezeki yang lain melainkan apa yang diperolehinya dipasar. Setiap hari, dia berpuasa dan berbuka dengan hasil keringatnya.

Ali kemudiannya bertanya,” Pernahkah ada sesuatu yang kamu keluhkan?”
Pekerja tersebut menjawab,” Tidak, Alhamdulillahi rabbil ‘alamin

Renungkanlah.=)